Bertaut Tanpa Kata

Petang Januari. Hari ke 24 tahun 2026. Haba angin dan gema kereta di luar tingkap bunyinya sama seperti tahun-tahun sebelumnya. Barangkali apabila kita berkongsi udara dengan asap metropolitan, ceritanya sama semenjak 1999 - bingit, tercemar, bangunan tinggi, dan hon lori. Tapi biar udaranya sama, ceritanya sama, hati saya mungkin sedikit berbeza. 


Demi meninggalkan yang lama, saya perlu yakin dengan rahmat Tuhan dan keagunanNya. Demi menongkah derasnya hari yang mendatang, saya perlu terima seperti mana anak kecil menerima sahaja ke mana dirinya di bawa bapanya. Bertaut dia pada pinggang seorang lelaki di atas motosikal berusia, seusia kewibawaan penunggannya, tanpa si kecil persoalkan keyakinannya kerana yang hanya ada dalam minda sementah itu adalah buku mewarna sebagai ganjaran di akhir hari. Biar muingkin dia tidak tahu perjalanan singkat itu kelak bakal menjadi cerita saat ia menjadi memori menjelang dewasa. Saat itu, hanya tangan yang memeluk tubuh itu tahu tindakan itu ialah tepat -  untuk bertaut menelusuri lebuhraya di tengah kota. 

Hati ini mungkin masih berat membawa luka yang sengaja dibiar tak berubat. Tetapi ia tidak berhenti dari mempercayai. Tidak berhenti dari untuk cuba menulis. Untuk melawat tapak permainan lama - sebagai peringatan yang saya masih hidup. 


Menemani langkah memasuki fasa baharu, saya kongsikan petikan dari kolum 'Prayer for Priest' tulisan Clarice Lispector:


"... remind him that there is also no explanation as to why a child should want a kiss from his mother, and yet every child does want that kiss and the kiss is always perfect, make him welcome the world without fear, because we were created for this incomprehensible world and are ourselves incomprehensible, so there is a connection between the world’s mystery and our own, but that connection will remain unclear to us as long as we struggle to understand it"







0 comment(s):