1. Suatu petang Februari yang rahsianya disimpan rapi dalam buku nota seorang perindu, adalah petang biasa tetapi sikit berbeza. Aku teringat manifesto Edgar Allan Poe dalam 'Alone' miliknya yang berbunyi, 'and all I loved, I loved alone.' Ia ditulis waktu Poe berumur 20 tahun terperangkap dalam kesunyian yang tercipta dan dicipta (betapa Poe sudah pun berpesan tentang sesuatu yang aku lalui dalam diam di bawah pseudo-sedar). Pada usia 20 tahun, lelaki lain sepertinya mungkin menikmati kopi bersama ibu bapa atau melawat ladang kuda yang bakal diwarisinya. Tapi tak seperti Poe. Tak seperti aku.
2. Usia seperti ini dihabiskan dengan berpura-pura rasa sunyi (di mata orang) agar pusat perhatian dituju tepat pada aku sama seperti teknik perspektif satu-titik lenyap yang dilakukan Stanley Kubrick dalam kebanyakan karyanya. Menagih empati dan emosi manusia lain seumpama mencari hampas dalam debu. Aku terlalu taksub dalam realiti ini dan ia menampakkan terlalu jauh aku hanyut.
3. Barangkali kerana empati yang aku ingin tarik itu adalah dari seorang perempuan. Tapi, ruang kosmos ini terlalu sempit dan padat untuk dia perasan wujudnya aku. Seperti Pluto yang diambil-buang dalam sistem solar, aku mengorbit perempuan itu dalam diam (atau mungkin aku sedang mengorbit jirim lain). Hinggalah pada suatu titik, aku kembali semula kepada manifesto Poe. Semua yang aku cinta, aku cinta seorang diri. Tak perlu sesiapa tahu.
0 comment(s):
Post a Comment