Kisah Pelayar dan Cintanya Pada Calypso

Suatu senja di pertengahan November yang kelima semenjak kapal itu berlayar, kapten muda itu menulis surat cinta kepada dewinya. Penanya hampir kering setiap kali surat cinta itu ditulis menceritakan semua peristiwa yang terjadi sepanjang pelayaran. Pada setiap penghujung surat cinta yang ditulis, kapten itu akan mengakhirinya dengan sepotong kata suci: "hati ini adalah milikmu, dewiku". Betapa dewinya berjanji untuk berjumpa semula selepas sepuluh tahun dari kali pertama mereka jatuh cinta. Dan kapten muda itu terus berpegang padi janji suci itu. Lima tahun berlalu, dan rindunya bergelora seperti Lautan Hindi.

Dalam asyik menulis surat itu, mindanya mula berlayar di atas lautan memori yang mengapungkan wajah dewinya Calypso, anak gadis Atlas. Pada kali pertama mereka berjumpa, kapten itu masih lagi terbayangkan wajah Calypso yang secantik langit malam berbintang bersama matanya biru serbiru nilam warna lautan. Itulah pertama kali seorang manusia juga pelayar hina, menaruh hati kepada seorang dewi lautan. Atas balasannya sebagai pencinta yang jujur dan setia, si pelayar dikurnia sebuah kapal agung oleh Calypso. Dan di atas kapal itu, dia menjadi kapten untuk mengiringi anak kapal yang berupa jiwa-jiwa yang sesat dan hilang di tengah lautan untuk dibawa ke Taman Fiddler, sebuah perhentian, yang jaraknya sembilan batu di tanah taklukan Syaitan. Maka, dalam perjanjian mereka, jiwa-jiwa itu harus dipungut selamat sepuluh tahun, dan hanya selepas sepuluh tahun, si pelayar dibenarkan pulang ke daratan untuk bersama-sama dengan dewinya. Sebelum mereka berpisah, Calypso menyarungkan loket sebagai tanda ingatan di leher pelayar itu dan bermula dari itu, bahtera Flying Dutchmen berlayar mencari jiwa-jiwa yang sunyi di tujuh lautan untuk dibawa ke 'sebelah sana'. "Hati ini adalah milikmu, dewiku," menjadi kata-kata terakhir dari pelayar itu kepada Calypso.

November yang kesepuluh semenjak kapal itu menduga ombak, pelayar dari Lautan Atlantik itu berlabuh di daratan Isla Cruces, sebuah pulau yang terasing dari peta dunia, untuk bertemu kekasihnya buat kali pertama selepas sedekad lama menjalankan tugas. Dari fajar pagi nan ungu hingga senja malam nan jingga, kelibat Calypso tiada. Gemuruh hati si kapten itu bertukar menjadi kelat. Maka lautan memanggilnya semula untuk menyambung tugas. "Calypso, hati ini masih lagi milikmu," bisiknya perlahan sebelum melabuhkan layar Flying Dutchman dan menarik sauhnya untuk meneruskan pelayaran.

Dekad kedua, bersama berpuluh surat cinta yang tergenggam di tangan kiri, pelayar itu pulang semula ke Isla Cruces untuk berjumpa dengan Calypso selepas menamatkan tugasnya. Seharian, dia menunggu di sisi pantai, namun gelora ombak tidak segelora jantungnya apabila kekecewaan yang datang dan bukannya Calypso. Lalu kapten itu pulang semula ke kapal dan berlayar untuk sepuluh tahun lagi.

Hanya selepas tiga dekad, bersama sebuah peti yang tersimpan surat-surat cinta buat Calypso, tatkala kapten itu mendarat di Isla Cruces, dia yang kini mulai berjanggut lebat itu mula sedar bahawa dia telah dikhianati oleh dewi lautan. Kapten itu mula sedar yang dia bukanlah sesiapa. Hanya seorang manusia hina dan untuk mencintai seorang dewi seanggun Calypso, adalah keaiban buatnya. Mana mungkin Calypso sudi menaruh hati kepada seorang pelayar yang sadis hidupnya. Malah, menaruh hati kepada seorang dewi barangkali kelihatan berakhir dengan tragedi. Dan atas kesedaran itu, cinta berubah menjadi benci dan dendam.

Kapten itu mengorek jantungnya, jantung yang mengkhianatinya, lalu disimpan di dalam peti itu bersama-sama surat cinta buat Calypso. Peti itu ditanam di bawah tanah berpasir Isla Cruces tersorok dari pengetahuan dunia. Tugasnya sebegai pemungut jiwa menjadikannya abadi; hati serta perasaan bukanlah perkara yang utama buatnya lagi. Dan kapten itu yang dahulunya mencintai Calypso dengan sepenuh jiwa, kini tidak lagi berjantung. Yang dahulunya mengambil berat mengenai Calypso tapi tidak pernah dihargai, kini tidak lagi berperasaan. Dan nilai-nilai manusia itu pupus sepenuhnya dari dirinya. Amarah menguasai dirinya dan dendam sebegai pelayar yang zalim menjaminkannya pemilik lautan memburu jiwa-jiwa yang tidak berdosa untuk dihukum.

Dan semenjak itu, kapten itu berlayar di lautan tujuh menenggelamkan memorinya tentang Calypso.

Di antara kepingan-kepingan surat cinta yang tersimpan di dalam sebuah peti di Isla Cruces, sepotong sajak kekal abadi di situ:

Aku adalah pelayar lautanmu,
pemilik mata birumu,
dan pengagung cintamu.

Sedekad seksa ini tiada sendu,
untuk sehari memuji warna kulitmu
juga lembut suaramu.

Kerana sang dewi sepertimu,
untuk dicintai tanpa jemu,
adalah janji abadi nan satu.

Jika kita tak lagi bertemu,
sudikan aku menjadi tetamu,
di syurga bersamamu.

Maka untuk itu,
Hati ini adalah milikmu,
dewiku,
dari aku,
Jones, Davy.



0 comment(s):