Kisah Asyidi dan Balqis

Aku pasti kalian pernah membaca kisah Qarin dan Bihah. Ada satu lagi kisah yang perlu kalian fikirkan kisahnya. Perhatian, kisah ini adalah kontra kepada kisah Qarin dan Bihah. Bagaimana? Teruskan membaca.

Ada seorang lelaki namanya Asyidi. Hidupnya sebagai lelaki yang meminati muzik dan seni, meletakkan separuh jiwanya pada kecintaan terhadap nilai estetika yang ada di setiap sudut dunia. Dan separuh daripada jiwanya itu dikongsi pula pada seorang gadis bernama Balqis. Dengar, mereka berdua, seperti mana Qarin dan Bihah, bukanlah pasangan kekasih. Sebaliknya, sepasang rakan biasa yang saling bertukar cerita dan masalah. Berkongsi minat yang sama. Berbahasa dengan bahasa menyunting kecantikan bulan, berpuisi di sisi pantai sayu, atau mungkin berdebat tentang drama dan teater.

Mereka terlalu rapat sehinggalah satu hari, Asyidi mula sedar bahawa dia memiliki perasaan pada teman karibnya itu. Betapa setiap kata-kata yang muncul dari bibirnya terukir kasidah indah yang memuji cantiknya Balqis. Dan picisan-picisan itu disemat di atas kertas lalu disimpan di dalam sampul untuk diberikan pada Balqis kelak.

Dan satu hari, Asyidi bertanyakan satu soalan pada Balqis, "kalaulah ada peluang, adakah aku akan jadi kekasih kau?". Balqis terdiam. Hatinya tersentak. Setiap kenangan manis yang mereka pernah lakukan mula pudar. Balqis merenung Asyidi lalu menjawab, "minta maaf Syidi. Serapat mana pun kita, kita cuma teman karib. Mustahil untuk jatuh cinta."

Balqis menyambung, "sedangkan cinta itu pernah sakitkan aku, tidak sama sekali untuk kali kedua."

Asyidi diam. Membisu. Malam itu, di sisi tasik, Asyidi mengeluarkan sampul surat buat Balqis dari poket seluarnya. Mencium surat itu dan dengan perlahan melepaskannya melayang jatuh ke dalam tasik. Surat itu tenggelam. Hanyut. Hanyut bersama-sama kenangannya bersama Balqis.

Dan kenangan itu menikamnya sekali lagi saat dia tahu, Balqis telah jatuh cinta pada lelaki lain. Dunia terpejam seketika membiarkan gelap menabirkan diri. "Kau kata kau tak mahu sakit untuk kali kedua tapi kau sendiri jatuh cinta, Qis."

Beberapa lama kemudian, Asyidi kini hidup dalam kesepian. Namun masih gembira dengan kehidupannya. Menenggelamkan dirinya dalam cinta pada muzik dan seni. Terus mencari gadis yang mungkin ada persamaan dengannya untuk menulusuri bahtera kehidupan. Tapi tiada. Sedang Balqis di sudut lain, sudahpun berkahwin. Namun hidupnya tiada segembira dahulu. Tiada teman untuk berkongsi minatnya pada muzik dan seni seperti Asyidi.

Betapa adakalanya, logik percintaan antara dua sahabat adalah mustahil itu adalah perkara paling hina.



p/s : apsal kena jadi macam ni?

2 comment(s):

izzah said...

best!. yup, 2 orang sahabat baik tak boleh bercinta..

Asphodel Walnut said...

Asyidi dan Balqis.

Bukti seorang lelaki dan seorang perempuan tidak boleh berkawan rapat. Kerana akan ada antara mereka yang jatuh cinta.

P/S: Oh rindunya aku dengan cerita-cerita kau, Fatah :')